Friday, March 27, 2009

Thursday, March 26, 2009

Pengenalan

Ekspresi muka adalah salah satu saluran dalam komunikasi bukan lisan. Semasa berinteraksi, ekspresi muka memainkan peranan yang penting. Ekspresi wajah atau mimik muka adalah hasil dari satu atau lebih gerakan reaksi otot pada wajah seseorang individu. Ekspresi wajah merupakan salah satu bentuk komunikasi bukan lisan yang dapat menyampaikan emosi seseorang kepada orang yang memerhatikannya. Ekspresi wajah merupakan salah satu cara yang penting dalam menyampaikan reaksi sosial dalam kehidupan manusia. Ia bukan sahaja terjadi kepada manusia tetapi juga kepada haiwan.
Manusia mengalami ekspresi wajah tertentu secara sengaja, umumnya ekspresi wajah dialami secara tidak sengaja akibat perasaan atau emosi pada waktu berkenaan. Pada kebiasaannya adalah sukar untuk menyembunyikan perasaan atau emosi tertentu dari wajah, walaupun ada segelintir individu yang ingin melakukannya. Misalnya, orang yang mencuba untuk menyembunyikan perasaan bencinya terhadap seseorang, tanpa disedari ia akan menunjukkan perasaannya tersebut di wajahnya, walaupun ia berusaha menunjukkan ekspresi semulajadi. Terdapat beberapa ekspresi wajah yang dapat diketahui maksudnya dengan mudah, walaupun dari pelbagai golongan yang berbeza, misalnya marah dan gembira. Namun, ada beberapa ekspresi lain sukar untuk ditafsir, contohnya takut dan benci . Selain itu, adakalanya ekspresi wajah diasalaherti kepada emosi yang lain.

Konsep ekspresi muka atau mimik muka

Ekspresi muka sangat penting dipelajari dan ia melibatkan pendedahan berkaitan dengan ciri-ciri seseorang individu dimana ia sangat membantu dalam menyampaikan mesej dalaman dalam diri kita kepada pengucap atau orang lain.
Selain itu, dalam konteks muka atau mimik muka iaitu dalam komunikasi bukan lisan, pengucapan atau air muka biasanya melibatkan perubahan corak visual atau penglihatan mengikut masa dan keadaan tertentu. Contohnya mimik muka seseorang akan berubah menjadi cemas semasa pembentangan akibat daripada fokus penglihatannya terhadap orang ramai berbanding jika dia membuat pembentangan kepada seorang atau dua orang. Selain itu muka kita juga boleh menjelaskan pelbagai situasi jika dibandingkan dengan ciri-ciri yang kekal.
Dalam pada itu konsep mimik muka yang lain adalah termasuk;
• Satu tatarajah visual yang mewakili sifat-sifat tertentu yang ada pada seseorang individu.
Contohnya Abu sering kali kecewa dengan sikap kawannya, maka beliau akan dapat diperlihatkan atau memperlihatkan wajahnya yang kelihatan mengeluh dan kecewa dimana ciri-ciri seseorang individu dapat dilihat berdasarkan mimik mukanya.
• Mimik muka juga adalah satu mesej digunakan sesetengah individu atau penerima mesej untuk melihat dan mentafsir symbol atau isyarat mimik muka orang tertentu. Sesetengah individu akan melihat dan mentafsir simbol mimik muka tertentu sebelum memberi respon kepada pengucap. Contohnya apabila mimik muka pengucap kelihatan senyum maka secara tidak langsung mimik muka pendengar juga akan sama tersenyum.

Model ekspresi wajah pada proses dialog menurut Ekman digolongkan kedalam beberapa bentuk

1.Tanda percakapan (Conversational signal).Ekspresi wajah digunakan untuk menunjukkan suatu emosi dan mengukuhkan mesej yang ingin disampaikan . Ekspresi jenis ini akan menjelaskan dan menguatkan apa yang sedang diucapkan. Sebagai contoh menggerakkan alis mata merupakan tanda percakapan yang sering digunakan dan juga diikuti oleh gerakan kepala, arah pandangan, dan kelipan mata sebagai tanda mengajak lawan bicara untuk menyetujui apa yang dikatakan oleh pembicara.

2.Tanda jeda (punctuator).Ekspresi wajah ini digunakan sebagai tanda jeda (berhenti sementara) untuk memisahkan perkataan yang diucapkan kedalam unit frasa yang diskrit, sehingga mudah difahami dengan lebih jelas. Ekspresi ini dapat direpresentasikan sebagai kedipan mata, gerakan alis ataupun gerakan kepala.

3.Manipulasi.Ekspresi wajah ini berhubungan dengan keperluan biologi wajah (misalkan mengedipkan mata agar tidak kering).

4.Regulasi.Membantu interkasi dalam mengatur alur pembicaraan. Melakukan kontak mata serta memalingkan wajah ke lawan bicara merupakan salah satu contoh yang jelas.

Contoh-contoh mimik muka yang boleh ditunjukkan

Berikut adalah contoh mimik muka yang boleh ditunjukkan berdasarkan kajian yang telah dilakukan oleh Ekman dan rakan-rakan (1972). Ia adalah terdiri daripada 7 emosi yang biasa digunakan dan mudah untuk dikenalpasti.
1. Marah
2. Benci
3. Takut
4. Gembira
5. Berminat
6. Sedih
7. Terkejut

Tujuan ekspresi muka atau mimik muka.

• Tujuan utama mimik muka adalah untuk mengeratkan perhubungan silaturahim. Dimana dapat dilihat fungsi mimik muka kita adalah untuk mewujudkan satu perhubungan yang mesra dan erat dengan orang lain di sekitar kita. Ini kerana dengan menggunakan mimik muka semasa proses interaksi kita dengan orang lain, ia dapat memberitahu orang lain bahawa kita mengambil berat dan cuba memahami mereka serta sedia berkongsi sesuatu perkara dengan mereka disamping akan mengeratkan lagi perhubungan silaturahim kita dengan orang lain. Contohnya orang yang mempunyai mimik muka kelihatan serius dan tidak senyum menunjukan kemungkinan seseorang individu tersebut sedang menghadapi masalah
• Tujuan seterusnya adalah untuk menyampaikan idea iaitu maklumat tentang sesuatu perkara.Mimik muka juga boleh ditaksirkan untuk menyediakan pelbagai idea iaitu maklumat tertentu tentang sesuatu perkara dan dimana maklumat ini diperolehi daripada komunikasi bukan lisan melalui ekspresi muka kita.Contohnya mimik muka kita yang sentiasa senyum dan tidak cemas apabila ditanya soalan oleh orang lain menunjukkan kita mempunyai idea iaitu maklumat tertentu bagi sesuatu perkara.
• Selain itu, tujuan mimik muka adalah untuk mengambarkan keadaan minda atau pemikiran kita.Ini kerana melalui mimik muka kita, sesetengah orang dapat mengetahui dan mengesan sama ada keadaaan pemikiran kita dalam keadaan tertekan, bercelaru dan berasa tenang. Contohnya mimik muka kita yang kelihatan cemas dan bimbang menunjukan pemikiran kita sedang bercelaru dan tertekan manakala mimic muka kita yang sentiasa senyum menunjukan keadaan pemikiran kita dalam keadaan tenang.